Tuesday, January 1, 2008

Bermulanya Satu Pengorbanan....


Hari ini telah menjadi satu lagi mercu tanda buat hidupku sebagai seorang suami, bapa dan ketua rumahtangga dalam membentuk satu insan yang dinamakan "cahayamata" - anugerah buatku dari Ilahi. Cahayamata ini yang penuh bermakna, tiada harta dapat dinilai, tidak dapat dicari ganti. Muhammad Irfan nama diberi, "bijaksana" maksud diberi. 1 Januari 2008 merupakan tarikh beliau menjejakkan kaki ke Maahad Tahfiz Al-Quran di Taman TTDI Jaya Shah Alam, memulakan kehidupan berasrama yang pernah ku kecapi.


Mulanya ku sangka mudah untuk membuat keputusan untuk menghantar Irfan pergi; tatkala isteri tersayang memberi cadangan untuk menghantar anak sulong kami tinggal di asrama dalam usia sebegini, aku tanpa berfikir panjang bersetuju dengan cadangan bernas tersebut. Mungkin isteriku juga selama ini peka dengan kekuatan anak sulong ini yang kecenderungannya begitu ketara dalam bidang ukrawi. Allah telah membuka ruang untuk Irfan menceburi bidang ini, yang mana beliau bersetuju apabila cadangan diberi. Alhmadullillah ku tadah kan sepuluh jari, berkat sokongan dan pengorbanan isteri, Irfan telah diterima masuk ke Maahad Tahfiz tersebut bermula bulan Januari.

Sejak dua minggu yang lepas Irfan telah mula membilang hari. Acapkali ku tanya beliau yakin akan hasrat ini. Dalam renungan matamu Irfan dapat ku lihat akan pengorbanan yang cuba engkau beri buat abah dan ummi, awal dalam usia mu sebegini. Abah dan ummi amat bangga, walaupun pengorbanan mu mungkin tak sehebat Saidina Ali.


Ibuku juga bertanya sama ada keputusan ini ku buat bersendiri, beliau risau sekiranya Irfan dipaksa pergi. Hanya satu pinta ku agar ibu turut berdoa dan meredhai hasrat murni kami.


1 Januari 2008, dapat ku lihat isteriku sudah mula sayu walaupun beliau cuba menyimpannya jauh didalam hati. Aku bangun agak lewat pagi kerana malam tadi asyik melayan blog ini. Irfan dikenakan dengan kurta berwarna hijau muda, tanpak segak dan bergaya. Maisarah dan muneerah seperti biasa "happy" dan mungkin kurang mengerti akan perjalanan yang bakal abah, ummi dan Along bakal tempuhi. Pukul 10 pagi adalah waktu melapur diri. Kami sampai di Maahad Tahfiz agak awal sedikit untuk mengambil sarapan pagi. Kami tiba di Tahfiz disambut oleh Ustaz Fahmy Al-Yamani, seorang pentadbir di Maahad tersebut, nampak bersinar dan berseri-seri, agaknya itulah salah satu kelebihan seorang penghafaz al-Quran yang suci. Setelah selesai membuat urusan pejabat, kami dibawa ke asrama. Sebelum itu lagi, Ustaz Fahmy telah memberi amaran supaya saya dan isteri jangan terkejut apabila melihat keadaan asrama yang serba rengkas. Saya memberi keyakinan kepada Ustaz Fahmy bahawa kami redha dan bersedia menerima seadanya kerana kami sedar dalam mendalami ilmu mukjizat ini, pengorbanan sebegini harus ditempuhi. Cuma saya berdoa agar Irfan dapat diberikan kekuatan oleh Allah swt untuk menempuhi semua ini.


Memang benar tekaan kami bahawa keadaannya tidaklah seburuk yang disangka. Irfan diberi "locker" untuk menyimpan barang-barang peribadi. Kemudian kami berlegar-legar disekitar kawasan asrama dan sempat melihat gelagat-gelagat pelajar yang sama seperti anak-anak lain yang pernah kami temui. Cuma istimewanya mereka mempunyai wajah yang bersinar dan berseri-seri. Allahuakbar!


12.00pm tiba masanya untuk aku dan isteri untuk mengundur diri. Segala amanat buat Irfan telah diberi. Riak wajahnya dapat ku lihat dengan seribu erti dan ku tahu kami sedang berkomunikasi dari hati ke hati. Linagan airmata perpisahan dapat ditahani, itulah kekuatan yang harus ada pada kami demi pengorbanan yang Allah redhai.

1 comment:

mr fotografer said...

Assalamualaikum utk Abg Chik & Kak Chik sekeluarga..

Tahniah atas perasmian blog El-Beruasi ni...unik namanya!

Semoga Allah tabahkan hati abg sekeluarga. Sungguhnya takkan ada erti kemanisan tanpa kepahitan, takkan ada kebahagiaan tanpa kesedihan..takkan ada kejayaan tanpa pengorbanan.

Moga Irfan bakal mnjadi seorang anak yg bukan shj taat & berguna pd keluarga, malah satu jg utk umat & negara satu hr nanti..amin..